LAPORAN PENGHAYATAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA
OLEH
PEMBANTU PENGURUSAN MURID CIK JOYCE ROBERT GRED N 19
JOYCE ROBERT | LAPORAN PENGHAYATAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN
MALAYSIA | TAHUN 2018
DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN MALAYSIA
Latarbelakang
Dalam tahun-tahun menuju
kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia
tentang betapa mustahaknya diadakan satu
sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi
memenuhi kehendak Negara. Atas kesedaran inilah lahir satu dasar Pendidikan
(Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan
Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960
yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.
Kemudian, sebuah Jawatankuasa
Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar
Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk
melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi
keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan Negara dapat dicapai.
Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.
Rasional
Sistem pendidikan di zaman
penjajahan telah berkembang tanpa mengambilkira kepada keperluan pembangunan,
pembentukan identity kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem pendidikan berkenaan
mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada
negara asal mereka dan menekan (suppress) semangat pembangunan rakyat tempatan.
Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila
Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu,
langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk
Negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.
Objektif
Objektif dasar ini dinyatakan
dalam pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:
“BAHAWASANYA dasar
pelajaran seperti yang diistiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk
menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan Negara dan
menggalakkan perkembangan kebudayaan, social. Ekonomi, dan politiknya…”
Objektif ini dinyatakan secara
am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan
kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya
sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan
tenaga kerja (“tenaga rakyat,”
istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan
ekonomi.
Seterusnya, objektif-objektif
ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang
tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan
dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat Negara ini dalam jangka panjang dan
pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan Negara yang
diasaskan kepada hasrat serta aspirasi Negara dan dinyatakan secara bertulis
baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan
berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan
memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara. Ini
menjadi satu matlamat penting system pendidikan kebangsaan.
Strategi
Pelaksanaan
Beberapa strategi telah digubal
untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:
I.
Menjadikan Bahasa
Kebangsaan sebagai Bahasa pengantar yang utama;
II.
Mengadakan kurikulum
yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah;
III.
Mewujudkan sistem
peperiksaan yang sama bagi semua;
IV.
Melicinkan tatacara
pengurusan pendidikan;
V.
Meningkatkan mutu
pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh,
seimbang dan bersepadu;
VI.
Mengadakan peluang
pendidikan asas selama sembilan tahun;
VII.
Mendemokrasikan
pendidikan dari segi peluang mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan
memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan
luar bandar atau pendalaman;
VIII.
Menyediakan
pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan
3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang sejurus kepada
kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama
kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi
ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika
yang kukuh;
IX.
Memperluaskan
pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum sekolah
vokasional pada tahun 1978;
X.
Mempelbagai dan
memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat university terutama dalam
bidang sastera gunaan dan sains gunaan;
XI.
Mempertingkatkan
pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;
XII.
Menjadikan Bahasa
Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di
sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempurna bagi pembelajaran
Bahasa-bahasa lain seperti Bahasa cina dan Bahasa Tamil; dan
XIII.
Menggalakkan
aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet
tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi ini, dasar
Pendidikan Kebangsaan juda dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan
tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras
dengan pertambahan kanak-kanak. Di kementerian/ Jabatan Pendidikan pula,
beberapa bahagian dan jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan
oleh Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah Penubuhan Bahagian
Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajar Teknik dan
Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan
Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian
Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.
Dasar Pendidikan Kebangsaan
sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan Negara buat masa ini dan masa
depan. Selaras dengan hasrat Negara untuk mencapai tahap Negara perindustrian
adalah penting rakyatnya diberi pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan
swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan,
perkhidmatan dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi
keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar
ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif
dalam bidang keusahawan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk
mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan
pernyertaan swasta secara aktif.
Dengan pengaktifan Dasar
Pendidikan Kebangsaan dapat mempercepatkan ekonomi Negara secara berkesan.
Pelbagai perangkaian pendasaran sistem pendidikan di Negara kita telah memberi
peransangan dan penelitian daripada pihak Kementerian Pendidikan Negara bagi
mempraktikan sistem pemantapan pendidikan yang sekian lama diperlancarkan.
Semaian pengetahuan adalah tanggungjawab bersama-sama rakyat dan taktik-taktik
semaian pengetahuan yang baru harus ditanam di dalam pendirian individu
tersendiri. Kelebihan dan keberhasilan pendasaran sistem pendidikan Negara
adalah sangat maktub dan mantap diperkembangkan sekian bagi memenuhi keperluan
pengetahuan rakyat dalam segala kerjaya di masa hadapan. Daripada kerjasama
tersebut, sistem ini dapat mencapai kemaktuban pendasaran sistem pendidikan
yang telah dihuraikan, direka semata-mata serta diperangkaikan oleh Kementerian
Pendidikan Negara.
Ringkasan Laporan
Pada Oktober 2011, Kementerian
Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan Negara Malaysia
secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang
baharu. Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula sistem
pendidikan berdasarkan standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat,
peningkatan aspirasi Negara, dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap
dasar pendidikan Negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi
keperluan abad ke-21. Dalam tempoh 11 bulan pelaksanaan kajian, Kementerian
telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan
yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam
institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan penyertaan pemimpin
sekolah, guru, ibu bapa, orang ramai dan murid di seluruh Negara. Dokumen awal
Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa
sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian
lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini juga
mencadangkan 11 anjakan strategic dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh
Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Usaha yang dirangka dan akan
dilaksanakan untuk mentransformasi sistem pendidikan Negara diharap dapat
difahami dengan jelas oleh masyarakat keseluruhannya. Kementerian akan
mendapatkan maklum balas tentang laporan pelan ini daripada seluruh komuniti
sebelum laporan akhir pelan ini dihasilkan pada Disember 2012.
Pendidikan
memainkan peranan utama bagi perkembangan ekonomi dan pembangunan sesebuah
Negara. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah
merupakan petunjuk utama yang dapat mengukur dengan tepat kemajuan masa depan
sesebuah Negara. Dalam menghadapi persaingan ekonomi global pada masa ini,
kejayaan sesebuah Negara amat bergantung pada ilmu pengetahuan, kemahiran dan
kompetensi yang dimiliki oleh rakyat. Oleh itu, Negara yang mempunyai rakyat
berpendidikan tinggi akan menikmati kemajuan ekonomi yang lebih tinggi. Selain
itu, pendidikan juga menjadi asas pembinaan Negara bangsa dan pengukuhan
perpaduan. Melalui pendidikan, individu dapat meningkatkan taraf hidup, menjadi
ahli masyarakat yang berjaya dan menyumbang aktif kepada pembangunan Negara.
Menerusi interaksi, individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi,
agama dan kaum dapat belajar untuk memahami, menerima dan menghargai perbezaan,
seterusnya membina perkongsian pengalaman dan aspirasi untuk masa depan
Malaysia. Melalui perkongsian pengalaman inilah identiti nasional dan perpaduan
Negara dapat dipupuk.
Sejak
kebelakangan ini, sistem pendidikan Negara telah menjadi perhatian dan
perbahasan. Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan
kebimbangan terhadap keupayaan system pendidikan untuk menyediakan generasi
muda secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Berdasarkan hakikat sesuatu
sistem pendidikan yang kompleks dan rencam, setiap Negara memerlukan tempoh
yang panjang untuk melihat impak perubahan yang dilaksanakan. Oleh itu,
Kementerian perlu mengambil tindakan yang berani dan pantas kerana perubahan
yang dihasratkan adalah penting dan mesti dilaksanakan dengan segera.
OBJEKTIF DAN PENDEKATAN KAJIAN
SEMULA
Laporan
Penghayatan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan hasil penyelidikan yang
mendalam dan penglibatan meluas masyarakat yang dijalankan oleh Kementerian.
Penghayatan Pembangunan Pendidikan dihayati dengan tiga objektif khusus iaitu:
1.
Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan
terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan
jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta
mengoptimumkan kecekapan sistem;
2.
Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan setiap murid bagi 8
tahun akan datang;
3.
Menggariskan program transformasi sistem pendidikan, yang merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi
memenuhi permintaan baharu dan harapan masyarakat yang meningkat, menyemarak
serta menyokong keseluruhan transformasi perkhidmatan awam.
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Pendekatan
yang digunakan dalam penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan adalah berani dan
ulung kali dilaksanakan. Perspektif daripada pelbagai pakar dan agensi
antarabangsa telah digarap untuk menilai dan mentaksir prestasi sistem
pendidikan Malaysia. Agensi yang terlibat ialah Bank Dunia, United Nations
Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO), Organisation for
Economic Co-operation and Development (OECD), serta enam universiti tempatan.
Kementerian juga bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk memastikan
jajaran dengan dasar awam yang lain berkaitan pendidikan. Sebagai contoh,
Kementerian bekerjasama dengan PEMANDU untuk membangunkan inisiatif pendidikan menerusi
Program Transformasi Kerajaan (GTP)2.0 bagi mencerminkan pembaharuan utama yang
terkandung dalam pelan Pembangunan Pendidikan dalam tempoh 2018-2025.
Tambahan
lagi, buat pertama kalinya Kementerian telah melibatkan penyertaan rakyat
secara besar-besaran. Sepanjang tempoh setahun, lebih 50,000 orang pegawai
Kementerian, guru, pemimpin sekolah, ibu bapa, murid dan orang awam di seluruh
Negara telah dilibatkan melalui temu bual, kumpulan focus, tinjauan, dewan
terbuka Dialog Nasional dan perbincangan meja bulat. Kementerian telah melantik
panel pakar yang terdiri daripada 12 ahli tempatan dan empat ahli antarabangsa
bagi menyediakan input bebas terhadap dapatan kajian semula sistem pendidikan Negara.
PELABURAN YANG SIGNIFIKAN DAN MAPAN DALAM
PENDIDIKAN
Penyediaan
sokongan dan sumber yang disediakan sesuatu sistem kepada sekolah memberi kesan
penting kepada preatasi sekolah. Hal ini bertujuan membolehkan guru dan
pengetua/ guru besar memberikan tumpuan kepada tugas utama mereka dalam
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh itu pelaburan
dalam sistem pendidikan merupakan ukuran penting kepada kesungguhan dan
komitmen kerajaan terhadap pendidikan.
Kerajaan
Malaysia telah mengekalkan tahap pelaburan yang tinggi dalam pendidikan sejak
Negara mencapai kemerdekaan lebih 55 tahun yang lalu. Pada awal tahun 1980-an,
perbelanjaan Persekutuan untuk pendidikan rendah dan menengah sebagai peratus
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah yang tertinggi di Asia Timur. Pada
tahun 2011, jumlah perbelanjaan pendidikan sebanyak 3.8% daripada KDNK, atau
16% daripada jumlah perbelanjaan Kerajaan bukan sahaja lebih tinggi daripada
purata OECD sebanyak 3.4% daripada KDNK dan 8.7% daripada jumlah perbelanjaan
awam, malah adalah setara atau lebih tinggi daripada sistem berprestasi tinggi
seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun. Pada tahun 2012, daripada jumlah
bajet pendidikan sebanyak RM 37 bilion, Kerajaan terus menyediakan peruntukan
yang terbesar, iaitu 16% daripada jumlah bajet kepada Kementerian Pelajaran.
Peruntukan ini menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pendidikan sebagai satu
daripada keutamaan Negara.
LONJAKAN BESAR DALAM MENINGKATKAN AKSES
KEPADA PENDIDIKAN
Sistem
pendidikan Negara menyaksikan lonjakan besar sejak tahun 1957. Ketika Negara
mencapai kemerdekaan, lebih separuh daripada populasi tidak menerima pendidikan
formal, hanya 6% kanak-kanak menerima pendidikan peringkat menengah, dan 1%
sahaja mendapat pendidikan lepas menengah. Namun, lima setengah dekad kemudian,
akses kepada pendidikan telah mengalami perubahan yang melangkaui jangkaan.
Pada
tahun 2011, enrolmen di peringkat pendidikan rendah telah hampir sejagat, iaitu
94% dan peratusan murid yang tercicir daripada pendidikan rendah telah menurun
secara signifikan (daripada 3% pada tahun 1989 kepada 0.2% pada tahun 2011).
Kadar enrolmen di peringkat menengah rendah (tingkatan 1 hingga 3) telah
meningkat kepada 87%. Peningkatan terbesar berlaku di peringkat menengah atas
(Tingkatan 4 hingga 5), dengan enrolmen meningkat hampir dua kali ganda
daripada 45% pada tahun 1980-an kepada 78% pada tahun 2011. Kadar enrolmen ini
adalah lebih tinggi sekiranya enrolmen di sekolah swasta juga diambil kira,
iaitu 96% peringkat rendah, 91% peringkat menengah, dan 82% menengah atas.
Kadar ini adalah yang lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan Negara
membangun yang lain, namun masih rendah berbanding sistem pendidikan
berprestasi tinggi seperti Singapura dan Korea Selatan. Pada masa yang sama,
peluasan yang cepat berlaku dalam pendidikan Prasekolah. Sekitar 77% murid
telah memasuki pendidikan prasekolah (sama ada kerajaan atau swasta), dan
sasaran Negara adalah untuk memperoleh penyertaan sejagat menerusi Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang terkandung dalam GTP.
Peningkatan
yang signifikan dalam akses disusuli dengan peningkatan dalam pencapaian murid.
Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada tahun1990 kepada kadar
hampir sejagat sebanyak 99% masa kini, manakala kadar literasi dewasa telah
meningkat secara mendadak, iaitu daripada kurang 70% kepada lebih 90% dalam
jangka masa yang sama. Seterusnya, kadar populasi dewasa (berusia 15+ tahun)
yang tidak mengikuti persekolahan telah menurun, daripada 60% pada tahun 1950 kepada
kurang 10% pada tahun 2010. Manakala kadar populasi (berusia 15+ tahun) yang
menamatkan pendidikan menengah telah meningkat daripada sekitar 7% pada tahun
1950 kepada hamper 75% dalam tempoh yang sama. Pencapaian ini adalah sesuatu
yang membanggakan Negara.
SISTEM PENDIDIKAN YANG KOMITED UNTUK
MEMBANGUNKAN MURID SECARA MENYELURUH
Kurikulum
sekolah yang digubal merupakan satu usaha berterusan bagi membangunkan
anak-anak secara menyeluruh, merangkum pelbagai dimensi, iaitu intelek, rohani,
emosi, dan jasmani seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Program dan inisiatif yang membangunkan komponen bukan akademik
dilaksanakan di dalam bilik darjah dan menerusi aktiviti kokurikulum. Sebagai
contoh, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam adalah wajib untuk semua murid
Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Kementerian juga menetapkan setiap murid mengambil
bahagian dalam sekurang-kurangnya 1 sukan, 1 kelab dan 1 badan beruniform bagi
membina bakat dan memupuk minat, di samping membentuk kemahiran kepimpinan.
Data yang diperoleh menunjukkan kadar penyertaan dalam aktiviti kokurikulum
adalah tinggi.
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk Malaysia telah digubal pada
tahun 1988 dan disemak semula pada tahun 1996, termaktub dalam visi Kementerian
dan Kerajaan yang berhasrat melahirkan generasi holistik dari segi intelektual,
kerohanian, emosi dan jasmani.
“Pendidikan di
Malaysia adalah satu usaha
berterusan ke arah
memperkembangkan
lagi potensi
individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk
mewujudkan insan
yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada
tuhan. Usaha ini adalah
bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab,
dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian
dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan
Negara.”
PRESTASI AKADEMIK MURID BERBANDING
STANDARD ANTARABANGSA
Objektif
asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid
dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan. Sejarah
sistem pendidikan Malaysia, seperti Negara lain di dunia, memberi penekanan
terhadap pembangunan kandungan pengetahuan yang kukuh menerusi mata pelajaran
Sains, Matematik dan Bahasa. Walau bagaimanapun, dari segi pengiktirafan di
peringkat global, kemahiran murid adalah tidak mencukupi sekadar menguasai 3M
(membaca, menulis dan mengira) sahaja apabila mereka meninggalkan persekolahan.
Tumpuan bukan hanya kepada kepentingan pemerolehan ilmu pengetahuan, tetapi
juga pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi.
Prestasi
murid Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu, namun pencapaian
yang membanggakan itu menghendapi risiko, dari segi relative dan mutlak. Hal
ini disebabkan system pendidikan Negara lain dapat meningkatkan prestasi murid
dengan lebih cepat dan mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan.
Jurang pencapaian Antara sistem pendidikan Malaysia dan Negara lain semakin
melebar. Keduanya, pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia
semakin merosot dari segi mutlak.
Sepanjang
dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa murid seperti Programme for
International Students Assessment (PISA) dan Trend in International Mathematics
and Science Study (TIMSS), telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung
tentang kualiti keberhasilan pendidikan daripada pelbagai sistem pendidikan.
Pentaksiran ini mengambil kira pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan
penaakulan.
Ketika
Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat pertama kalinya pada tahun 1999,
skor purata murid mengatasi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains.
Penyertaan dalam pusingan yang terkini pada tahun 2007 menunjukkan prestasi
murid Malaysia telah menurun bawah purata antarabangsa bagi mata pelajaran
Matematik dan Sains, disusuli penurunan dari segi kedudukan Negara. Lebih
kritikal lagi, 18% dan 20% murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran
minimum dalam Matematik dan Sains pada tahun 2007, iaitu peningkatan dua hingga
empat kali ganda daripada 7% dan 5% masing-masing pada tahun 2003.
Keputusan
PISA 2009+ (penyertaan kali pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan
kerana kedudukan Malaysia terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam
kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini juga meletakkan Malaysia bawah
pencapaian purata antarabangsa dan OECD. Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang
menyertai PISA gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala
44% dalam bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran minimum.
Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam PISA adalah beesamaan dengan satu tahun
persekolahan. Secara perbandingan, pencapaian murid berumur 15 tahun di
Singapura, di Korea Selatan, di Hong Kong dan di Shanghai seolah-olah mempunyai
tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding dengan murid berumur 15 tahun di
Malaysia.
CONTOH KECEMERLANGAN WUJUD DALAM SISTEM
PENDIDIKAN NEGARA
Walaupun
keputusan terkini TIMSS dan PISA telah mencetus kebimbangan, namun terdapat
banyak bukti kecemerlangan murid dan sekolah di seluruh Negara yang telah
mencapai standard kebangsaan berdasarkan ukuran dalam bidang akademik dan bukan
akademik. Di samping itu, Kementerian telah mengiktiraf 66 sekolah di bawah
program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Sekolah berkenaan merupakan yang
terbaik kerana memiliki ciri-ciri yang unik, meghasilkan kecemerlangan akademik
dan bukan akademik murid secara tekal, dan berkeupayaan bersaing di peringkat
antarabangsa.
Sistem
pendidikan Negara juga berjaya mewujudkan sekolah, daerah dan negeri yang
mewujudkan peningkatan di luar jangkaan yang membanggakan, misalnya sejak lima
tahun yang lalu, Johor merupakan salah sebuah negeri yang berada pada lima
terbawah berdasarkan prestasi murid dalam UPSR. Johor telah melaksanakan
program peningkatan kemajuan sekolah yang menyeluruh dan berjaya meningkatkan
pencapaiannya hanya dalam tempoh lima tahun. Johor, kini, berada dalam kelompok
tiga teratas (diukur berdasarkan pencapaian murid). Begitu juga, terdapat
sekolah di kawasan pedalaman seperti SK Ulu Lubai dan SK Bakalalan, di Sarawak,
kedua-dua sekolah ini berada dalam komuniti yang berpendapatan rendah, namun
berjaya merangkul anugerah amalan terbaik peringkat komanwel pada tahun 2009
kerana Berjaya melaksanakan perubahan yang mengagumkan. Kejayaan ini
menunjukkan wujudnya peluang yang boleh dipelajari dan meningkatkan lagi amalan
terbaik untuk diamalkan dalam sistem pendidikan secara keseluruhan.
CABARAN KEKAL WUJUD DALAM MENCAPAI
KEBERHASILAN MURID SECARA SAKSAMA
Objektif
yang sama penting dalam sistem pendidikan adalah memastikan kesaksamaan dalam
keberhasilan murid. Malangnya, sehingga kini keberhasilan murid masih tidak
saksama. Negeri yang mempunyai populasi sekolah luar bandar yang banyak,
seperti Sabah dan Sarawak, secara purata, menunjukkan prestasi yang rendah
berbanding negeri yang mempunyai bilangan sekolah luar bandar yang sedikit.
Dalam UPSR, peratus jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar Bandar
adalah 4% mata dan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jurang pencapaian
meningkat kepada 8% mata. Walau bagaimanapun, kedua-dua jurang pencapaian ini telah
menurun, masing-masing sebanyak 5% mata dan 2% mata sejak enam tahun
kebelakangan ini.
Jurang
pencapaian antara Sekolah Kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan juga semakin
mengecil. Tidak wujud perbezaan yang ketara Antara sekolah kebangsaan dan
sekolah jenis kebangsaan Cina dari segi pencapaian dalam UPSR. Sejak lima tahun
yang lalu, jurang pencapaian dalam kalangan sekolah jenis kebangsaan Tamil telah
berjaya dikurangkan sebanyak 50% dan jurang pencapaian antara sekolah jenis
kebangsaan Tamil dengan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina
telah kurang kepada 4% mata.
Sebaliknya,
jurang pencapaian antara jantina adalah signifikan dan terus meningkat, malah
semakin melebar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Murid perempuan
sentiasa mengatasi pencapaian murid lelaki pada semua peringkat. Jurang
pencapaian Antara gender mula kelihatan di peringkat UPSR dan berterusan
sehingga ke peringkat Universiti, iaitu 70% daripada kohort peringkat
universiti terdiri daripada pelajar perempuan. Walaupun fenomena ini bukan unik
bagi Malaysia, namun ia memerlukan Negara tidak mempunyai kohot murid lelaki
‘tercicir’, yang lebih awal meninggalkan sistem persekolahan atau merupakan
kumpulan berpencapaian rendah.
Akhirnya,
jurang ekuiti yang paling besar disebabkan oleh latar belakang sosioekonomi
murid. Jurang ini dilihat berdasarkan tiga aspek: pencapaian pendidikan ibu
bapa, purata pendapatan isi rumah bagi negeri, dan peratus murid menerimaa
bantuan asas kewangan bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
Ketiga-tiga aspek ini merupakan bukti yang tekal bahawa murid daripada keluarga
miskin adalah kurang cemerlang berbanding murid daripada keluarga berpendapatan
sederhana dan tinggi.
KEPELBAGAIAN PILIHAN PERSEKOLAHAN
MEWUJUDKAN PERSEKITARAN ETNIK YANG HOMOGEN
Kewujudan
pelbagai jenis sekolah kebangsaan dan swasta di peringkat rendah dan peringkat
menengah dalam sistem pendidikan menyediakan peluang kepada ibu bapa untuk
memilih jenis sekolah bagi anak-anak mereka. Walau bagaimanapun, kewujudan
persekitaran etnik yang homogen di sekolah menimbulkan kebimbangan tentang
kurangnya peluang untuk berinteraksi dalam kalangan murid. Demi pengukuhan
identiti dan perpaduan nasional, interaksi dalam kalangan murid perlu
dipertingkatkan bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan aspirasi masa
depan Malaysia. Situasi kepelbagaian jenis sekolah yang wujud dalam sistem
pendidikan pada masa ini tidak menyumbang kepada interaksi yang dihasratkan.
Data
yang diperoleh menunjukkan bahawa lebih banyak murid Cina dan India berdaftar
di SJK pada tahun 2011, berbanding 10 tahun yang lalu. Bilangan murid Cina yang
berdaftar di SJKC telah meningkat daripada 92% pada tahun 2000 kepada 96% pada
tahun 2011. Peningkatan bagi murid India yang berada di SJKT adalah lebih
ketara, iaitu daripada 47% kepada 56%. Keadaan yang sama wujud di SK kerana 90%
enrolmen murid adalah bumiputera. Di peringkat menengah pula, walaupun laluan
persekolahan adalah satu sahaja, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), namun
keadaan terpisah dan homogen masih wujud. Hal ini berasaskan pemerhatian bahawa
terdapat murid yang masih terbatas untuk terdedah kepada kepelbagaian, misalnya
murid SJKC cenderung untuk ke Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC),
sementara itu terdapat murid SK menyambung pelajaran di Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama (SMKA).
Dalam
usaha mencapai perpaduan, penting bagi setiap murid berinteraksi dan belajar
bersama-sama rakan sebaya dan guru daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan
latar belakang sosioekonomi. Kementerian telah menyediakan Program Rancangan
Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) menerusi aktiviti kokurikulum bagi
mengukuhkan interaksi dalam kalangan murid di pelbagai jenis sekolah. Kajian
semula yang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) mendapati
program RIMUP berjaya mewujudkan pergaulan Antara etnik di dalam dan di luar
bilik darjah. Oleh sebab kekurangan peruntukan, telah berlaku penurunan yang
ketara dari sudut pengisian dan bilangan aktiviti untuk program RIMUP.
PULANGAN ATAS PELABURAN TIDAK MEMENUHI
HASRAT
Malaysia terus memperuntukkan bajet yang tinggi untuk
pendidikan. Usaha ini telah meningkatkan akses yang hampir sejagat di peringkat
pendidikan rendah. Pada masa yang sama, akses di peringkat menengah telah
meningkat dengan ketara. Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk menambah
baik dari segi aspek kualiti, ekuiti dan perpaduan.
Melalui perbandingan perbezaan prestasi pelbagai Negara
yang menyertai pentaksiran antarabangsa berdasarkan perbelanjaan pendidikan per
murid, perbezaan setiap band prestasi (Lemah, Sederhana, Baik, Sangat Baik,
Cemerlang) adalah bersamaan dengan satu tahun persekolahan adalah sangat
penting. Data yang diperoleh pada tahun 2010 menunjukkan prestasi Malaysia
berada pada kedudukan di belakang Negara-negara yang menyediakan jumlah
peruntukkan yang hampir sama atau lebih rendah seperti Thailand, Chile, dan
Armenia. Keadaan ini mungkin disebabkan peruntukkan untuk pendidikan di
Malaysia tidak disalurkan kepada faktor yang memberi impak tinggi terhadap
keberhasilan murid, seperti latihan untuk meningkatkan kemahiran guru secara
berterusan. Sistem pendidikan berprestasi tinggi seperti di Singapura, di Korea
Selatan, dan di Shanghai sememangnya memperuntukkan jumlah bajet yang lebih
tinggi berbanding Malaysia. Sistem pendidikan Negara juga mampu melonjak dengan
adanya usaha transformasi yang utama seperti ini. Oleh itu, tahap perbelanjaan
untuk pendidikan di Malaysia perlu dikekalkan, namun kecekapan dan keberkesanan
dalam pengagihan dan perbelanjaan bajet perlu dikaji semula.
ASPIRASI
TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN DAN MURID DI MALAYSIA
Bagi memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia dan
menyediakan Negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa adalah penting
untuk Negara melakarkan wawasan kejayaan sistem pendidikan yang ingin
dibangunkan, khusus berdasarkan konteks Malaysia. Kumpulan murid terbaik yang
bagaimanakah ingin dihasilkan untuk berdepan dengan cabaran ekonomi abad ke-21?
Jenis pendidikan yang bagaimanakah perlu disediakan untuk mereka hadapi globalisasi
yang pantas berubah? Kedua-dua aspirasi ini merangkumi dua aspek: pertama,
sistem pendidikan secara keseluruhan, dan kedua, murid secara individu. Visi
dan aspirasi ini akan menjadi landasan transfomasi sistem pendidikan Malaysia.
Aspirasi sistem
Pelan pembangunan pendidikan ini berhasrat untuk mencapai
lima keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaan sistem pendidikan
Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Keberhasilan
yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang disuarakan oleh peserta
Dialog Nasional Pendidikan Kebangsaan. sistem pendidikan berprestasi juga
menetapkan teras yang sama yang perlu dicapai. Tindakan bagi merealisasikan
lima teras berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif dalam teras
berkenaan yang boleh dilaksanakan secara berasingan, malah perlu disepadukan
dan digerakkan secara bersama.
No comments:
Post a Comment